Maksud perang sunting Wikipedia:Perang_sunting

Wikipedia menggalakkan para penyunting bertindak berani. Sesuatu perubahan yang berpotensi menjadi kontroversi dapat diuji bagi melihat sama ada ia akan dicabar. Seorang penyunting lain mungkin mengundurkannya. Ini disebut kitaran "berani, undur, bincang" atau (bold, revert, discuss). Perang sunting hanya dikira berlaku apabila keadaan berubah menjadi satu siri pengundaran ke hulu dan ke hilir.

Walau bagaimanapun, tidak semua pengunduran ataupun suntingan kontroversi dianggap sebagai perang sunting:

  • Pengunduran laku musnah tidak dikira perang sunting. Namun demikian, menyunting dari sudut pandangan saksama (tidak berat sebelah), memasukkan atau membuang bahan secara am, atau pengubahan sangka baik tidak dianggap sebagai laku musnah. Lihat Wikipedia:Laku musnah.
  • Membuat pengunduran kerana ingin menguatkuasakan polisi-polisi penting tidak dikira perang sunting. Sebagai contoh, di bawah polisi berkaitan biografi orang yang masih hidup, dalam kes kemasukan kandungan yang negatif tanpa disertakan sumbernya sekali, terdapat risiko akan berlakunya kesalahan atau kemudaratan dan ini memerlukan pembuangan bahan tersebut.
  • Pengunduran suntingan pengguna terlarang tidak dikira perang sunting.
  • Pengunduran suntingan pada laman pengguna sendiri jarang sekali dikira perang sunting. Secara tradisinya, Wikipedia memberi ruang luas kepada para pengguna untuk mengurus laman-laman pengguna sendiri. Lihat Pemilikan dan penyuntingan laman pengguna

Apabila membuat pengunduran, pastikan yang anda menyatakan sebab-musababnya. Ini dapat dilakukan dalam ringkasan suntingan dan/atau pada laman perbincangan. Perkakas antivandalisme seperti Twinkle dan sebagainya tidak harus digunakan untuk membalikkan perubahan sangka baik tanpa disertakan ringkasan suntingan.

Peraturan 3RR

Para penyunting yang berperang sunting boleh disekat daripada menyunting demi mengelakkan gangguan lanjut. Sementara mana-mana jenis perang sunting boleh dikenakan tindakan, terdapat sebuah peraturan yang dipanggil 'peraturan tiga kali pengunduran atau 3RR; pelanggaran peraturan ini boleh menghasilkan sekatan terhadap penyunting terbabit. Peraturan 3RR menyatakan:

Seseorang penyunting tidak seharusnya melakukan lebih daripada tiga pengunduran pada sesuatu laman—sama ada yang melibatkan bahan yang sama atau pun yang lain—dalam jangka masa 24 jam. Sesuatu suntingan atau siri suntingan berturut-turut yang membalikkan tindakan penyunting-penyunting lain—sama ada sebahagian atau sepenuhnya—dikira sebagai pengunduran. Pelanggaran peraturan ini akan mengakibatkan penyunting terbabit disekat sekurang-kurangnya selama 24 jam. Apa jua tindakan yang dilihat sebagai memainkan sistem dengan membuat pengunduran buat kali keempat sejurus selepas slot 24 jam berkemungkinan dianggap sebagai kesalahan perang sunting. Lihat Pengecualian di bawah.
Sekiranya perang sunting terjadi, penyunting mestilah membincangkan isu-isu yang timbul tersebut dengan baik, gunakanlah laman perbincangan yang disediakan bersama dengan setiap rencana di Wikipedia atau berbincanglah di Wikipedia:Kedai Kopi.

Pengecualian 3RR

Tindakan-tindakan berikut tidak dianggap pengunduran bagi maksud 3RR:

  1. Pengunduran tindakan sendiri.
  2. Pengunduran suntingan laman-laman pengguna anda selagi ia tidak melanggar garis panduan laman pengguna.
  3. Pengunduran tindakan pengguna terlarang, pengguna boneka dan suntingan bagi pihak pengguna yang disekat.
  4. Pengunduran laku musnah ketara—apa jua suntingan yang dipersetujui pengguna yang berniat baik sebagai kelakuan laku musnah, seperti memadam laman ataupun memasukkan bahasa lucah.
  5. Pembuangan bahan yang melanggar hak cipta ataupun kandungan yang tidak syak lagi melanggar kriteria bahan bukan-bebas.
  6. Pembuangan kandungan yang melanggar undang-undang AS seperti Pornografi kanak-kanak dan Perisian cetak rompak.
  7. Pembuangan bahan berbentuk fitnah, berat sebelah, tidak bersumber atau memiliki sumber lemah yang melanggar polisi berkaitan biografi orang yang masih hidup.